SHAH ALAM, 21 NOV: Selangor merekod nilai dagangan sebanyak RM639.2 bilion kesan penyertaan negara dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
EXCO pelaburan berkata pencapaian antara Januari hingga September dengan peningkatan 13.9 peratus berbanding tahun lalu, turut dipengaruhi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Jelas Ng Sze Han, negeri turut menyumbang 23.7 peratus iaitu RM264 bilion kepada eksport negara, manakala untuk import negara melibatkan RM375.2 bilion dengan peratusan sebanyak 36.6.
“Merujuk rekod jumlah eksport negara, prestasi perdagangan Selangor meningkat, memberangsangkan dan menunjukkan impak positif selepas penglibatan Malaysia dalam RCEP dan CPTPP pada 2022.
[caption id="attachment_668489" align="aligncenter" width="812"] Orang ramai menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 siri kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Sebagai contoh, purata nilai dagangan dicatat bagi tempoh tiga tahun sebelum penglibatan ini sebanyak RM 615.44 bilion, namun selepas 2022 nilai purata dagangan RM738.47 bilion,” katanya.
Menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri hari ini, jelasnya, produk dagangan utama seperti jentera dan kelengkapan (RM273.35 bilion - 42.8 peratus) serta perkilangan (RM101.99 bilion - 16 peratus).
Menurutnya, produk lain termasuk bahan kimia (RM78.65 bilion - 12.3 peratus), artikel perkilangan (RM65.35 bilion - 10.2 peratus) dan makanan (RM46.37 bilion - 7.3 peratus).
Untuk rakan dagangan utama, Sze Han berkata China melibatkan 23.9 peratus, Amerika Syarikat (12.1 peratus), Jepun (6.5 peratus), Indonesia (4.4 peratus) dan India (4.1 peratus.
“Selangor turut menganjurkan program pameran seperti sidang kemuncak perniagaan dan persidangan halal antarabangsa bagi mempromosi produk keluaran negeri ke pasaran luar negara.
“Selain itu, penglibatan syarikat negeri dalam program Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia meningkatkan prestasi perdagangan serta mengukuhkan kedudukan sebagai penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya.