SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Negeri sedia menggubal undang-undang pemberian lesen kepada penduduk tempatan khususnya yang berkahwin dengan warga asing bagi mengelakkan pemanipulasian permit niaga.
EXCO kerajaan tempatan berkata senario berkenaan diakui wujud malah sukar ditangani penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan memerlukan kerjasama semua agensi untuk menanganinya.
"Itu cinta olok-olok atau atau cinta cari peluang bagi gunakan perkahwinan untuk berniaga. Ini bukan cinta sejati. Memang wujud di lapangan di sana sini dan kadang-kadang sukar nak buat penguatkuasaan.
“Kita pergi ke premis dan lesen atas nama isteri yang merupakan warga tempatan tetapi di belakangnya warga asing. Keperluan untuk gubal sasar memang ada namun kena bincang semula," kata Dato’ Ng Suee Lim pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Menjawab soalan tambahan wakil rakyat Seri Serdang Abbas Adzmi, beliau berkata kemajuan ekonomi negara khususnya Selangor menjadikan negeri ini sebagai lubuk emas dalam kalangan warga asing.
"Mereka suka datang dan senang cari nafkah hidup. Jadi ini tarikan kepada mereka malah (ada) warga asing sudah lama dan serasi dengan warga tempatan.
“Setakat ini sebanyak 32 lesen perniagaan telah dibatalkan kerana menyewakan permit kepada warga asing,” katanya.