ad
AGENDA

Selangor selaraskan gaji minimum RM1,700 tahun depan

21 Nov 2024, 3:21 AM
Selangor selaraskan gaji minimum RM1,700 tahun depan

SHAH ALAM, 21 NOV: Kadar gaji minimum di negeri ini akan diselaraskan kepada RM1,700 pada tahun depan, seiring dengan pelaksanaannya di peringkat persekutuan.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata beberapa pendekatan akan dilaksana termasuk jalinan kerjasama dengan pihak berkepentingan antaranya Jabatan Tenaga Kerja, badan berkenan dan sektor swasta.

Beliau menjelaskan pentadbiran juga akan memberi sokongan bantuan kepada syarikat mikro, kecil dan sederhana bagi menggalakkan pemberian gaji adil dan berpatutan, di samping mengambil kira keadaan ekonomi dan kadar inflasi.

“Syarikat yang mendapat kontrak Kerajaan Negeri juga dipastikan mematuhi penetapan ini. Pelaksanaan gaji minimum RM1,700 ini memerlukan pemantauan berterusan dan kesedaran semua pihak.

“Sebagai negeri maju dan memiliki perkembangan ekonomi, Kerajaan Negeri akan memastikan usaha mengadaptasi perubahan tanpa menjejaskan operasi dan memastikan pekerja diberi latihan serta pendidikan mengenai hak,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Perdana menteri ketika membentang Belanjawan Madani 2025 bulan lalu mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Februari tahun depan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan berkuat kuasa pada 1 Ogos.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.