SHAH ALAM, 21 NOV: Perkhidmatan Bas Smart Selangor bukan sahaja dapat menjimatkan belanja penduduk, malah pengguna tidak perlu menunggu lama untuk menaiki bas.
Seorang jurujual, Abdul Alif Aiman Abdul Han, 18, mengakui hampir setiap hari berulang dari rumah ke tempat kerja menggunakan perkhidmatan itu.
[caption id="attachment_674082" align="alignleft" width="443"] Abdul Alif Aiman[/caption]
Bekerja di sebuah pusat membeli-belah di sini, Abdul Alif Aiman berkata dia juga tidak perlu menunggu lama untuk menaiki bas.
"Cuma cadangan saya lebih bagus sekiranya dapat wujudkan kad berbanding mengimbas kod QR menerusi aplikasi kerana kadangkala untuk buka aplikasi Bas Smart Selangor agak lambat.
“Oleh itu, sekiranya ada kad (pengesahan warganegara) lebih mudah dan tidak perlu beratur panjang untuk menaiki bas," katanya ketika ditemui di Stesen Bas Smart Selangor Seksyen 19, di sini hari ini.
Manakala, Katrina Mae Lee Mei Chia, 19, seorang rakyat Sabah berhijrah ke negeri ini memuji Kerajaan Selangor melaksanakan inisiatif pengangkutan awam percuma.
“Lebih setahun menaiki Bas Smart Selangor untuk ulang-alik pergi belajar dan kerja sambilan di sebuah kedai gajet di Seksyen 7, di sini. Syukur kerana percuma kepada semua dan tidak hanya buat rakyat Selangor sahaja.
[caption id="attachment_674083" align="alignright" width="434"] Nur Arisya Sofea[/caption]
“Setakat ini semuanya baik sahaja dan selesa tetapi adalah lebih baik sekiranya dapat lanjutkan lagi waktu operasi sehingga 12 tengah malam berbanding ketika ini sehingga 10 malam sahaja, sebab adakalanya saya balik kerja jam 10 malam," katanya.
Sementara itu, Nur Arisya Sofea, 14, berkata dia kerap menaiki Bas Smart Selangor untuk ke sekolah atau keluar bersama rakan ke bandar kerana jarak stesen dengan rumah berhampiran.
“Setakat ini memang mudah dan waktu menunggu pun tidak lama. Kebetulan juga bas ini lalu di kawasan rumah dan sekolah, jadi ia lebih menjimatkan tidak perlu menaiki bas sekolah yang berbayar," katanya.
Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Dato' Menteri Besar mengumumkan sejumlah RM20 juta diperuntuk bagi mengoptimum perkhidmatan Bas Smart Selangor dan van transit atas permintaan (DRT) tahun depan.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu termasuk menambah zon baharu dan konsep pelaksanaan lebih meluas dengan pengendali perkhidmatan.
Lebih 60 juta penumpang dicatat menggunakan bas itu antara 2015 hingga Jun 2023, dengan 166 bas disediakan ke 50 laluan menerusi peruntukan tahunan RM45 juta.