ad
EXCO

Pemilik kilang tanpa kebenaran berdepan tindakan tegas, tanah dirampas

20 Nov 2024, 10:32 AM
Pemilik kilang tanpa kebenaran berdepan tindakan tegas, tanah dirampas

SHAH ALAM, 20 NOV: Pemilik atau pengusaha kilang tanpa kebenaran (KTK) digesa menyertai program pemutihan dengan mengemukakan permohonan tukar syarat kepada perindustrian.

EXCO Kerajaan Tempatan Datuk Ng Suee Lim berkata kegagalan pemilik berbuat demikian boleh menyebabkan tanah mereka dirampas.

"Pemilik tanah yang disenaraikan oleh pihak berkuasa tempatan sebagai lot yang melanggar syarat kerana terdapat struktur kilang di atas tanahnya akan diberikan Notis 7A (seksyen 128) Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 828) untuk pemulihan.

"Keingkaran pemilik tanah untuk mematuhi notis tersebut boleh mengakibatkan tanahnya dilucut hak (dirampas) dan menjadi tanah kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wakil rakyat Sementa Najhan Mohamad Salleh yang ingin mengetahui tindakan Kerajaan Negeri ke atas KTK di tanah pertanian dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan yang lebih serius dan menyeluruh terhadap pengusaha dan pemilik tanah yang terlibat dengan KTK melalui program pematuhan syarat dan penguatkuasaan KTK Negeri Selangor Tahun 2025-2027.

“Di bawah program pemutihan, mana-mana KTK yang tersenarai dalam inventori sebelum 28 Ogos 2019 adalah layak untuk mendapat insentif di bawah program pemutihan ini.

“Ia melalui penawaran insentif secara 'carrot and stick' terhadap pemilik tanah dan pengusaha kilang yang terlibat dengan KTK agar mereka mengemukakan permohonan menukar syarat kepada kategori perindustrian," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.