ad
AGENDA

Air Selangor teroka laksana teknologi rawatan air guna kaedah AI

20 Nov 2024, 7:36 AM
Air Selangor teroka laksana teknologi rawatan air guna kaedah AI

SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri melalui Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sedang meneroka penggunaan teknologi rawatan air melalui kaedah kecerdasan buatan (AI).

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata teknologi itu untuk memantau, meramal dan mengesan kualiti sumber air mentah dari sungai sebelum dirawat di 34 loji rawatan air di Selangor.

“Kerajaan Negeri sentiasa terbuka dalam pemakaian AI termasuk kaedah analitik lanjutan dan sensor jarak jauh yang boleh membantu mengawal pengesanan paras air bagi amaran awal banjir dan kualiti air.

“Negeri yakin sistem pengurusan air yang dibantu AI ini boleh menjimatkan penggunaan air, mengurangkan kos dan menyumbang kepada kemampanam alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wakil rakyat Semenyih Nushi Mahfodz berhubung cadangan penggunaan AI untuk mengawal pengesanan paras air dan amaran awal banjir dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Selain itu, Izham memaklumkan tujuh paras air empangan di Selangor mencapai tahap 90 peratus dan ke atas hingga 4 November 2024.

“Empangan Sungai Selangor pada 98.51 peratus manakala Empangan Sungai Semenyih (97.17 peratus), Empangan Sungai Langat (97.15 peratus) dan Empangan Sungai Batu (96.89 peratus).

“Bagi Empangan Sungai Tinggi pula mencapai 94.40 peratus selain Empangan Tasik Subang (94.18 peratus) serta Empangan Klang Gates (91.80 peratus),” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.