ad
AGENDA

Kerajaan Negeri pertimbang naik gaji kakitangan pusat khidmat masyarakat

20 Nov 2024, 5:09 AM
Kerajaan Negeri pertimbang naik gaji kakitangan pusat khidmat masyarakat

SHAH ALAM, 20 NOV: Selangor mempertimbang membuat pelarasan gaji kakitangan di pusat khidmat masyarakat (PKM) sesuai dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan.

Dato' Menteri Besar turut memaklumkan pihaknya akan menilai semula peruntukan bulanan bagi semua PKM termasuk kepada pembangkang susulan peningkatan kos sewaan.

"Ketika ini, Kerajaan Negeri sedang menimbang beberapa cadangan antaranya meningkatkan pelarasan gaji bagi kakitangan termasuk pegawai PKM seluruh Selangor sesuai dengan pengumuman terbaharu Kerajaan Persekutuan.

"Saya hendak maklumkan juga untuk mempertimbang menilai semula peruntukan bulanan bagi PKM termasuk pembangkang sebab pada waktu ini kos penyewaan meningkat...kita akan kaji keseluruhan berikutan ada bebanan contohnya di Tanjung Karang mungkin bawah RM2,000 tetapi tinggi di Petaling.

"Bagi penetapan lokasi PKM, memang sepatutnya ia terletak di dalam kawasan tetapi tidak mahu tekankan, wajibkannya kerana menimbulkan peningkatan kos," kata Dato' Seri Amirudin Shari menjawab soalan wakil rakyat Sungai Pelek Lwi Kian Keong dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan isu penambahan kakitangan di PKM yang dibebani dengan pelbagai program bulanan dan mingguan dijangka selesai selewatnya Jun tahun depan.

"Buat masa ini, kita masih kekalkan kuota empat pegawai tetapi akan mempertimbang penambahan kakitangan setelah melihat bebanan PKM dengan program-program sedia ada termasuk yang baharu khairat kematian.

"Ini termasuk pada 2026 kita akan mula melunaskan pembayaran 29,000 peserta Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) dari kelompok pertama. Kita muktamadkan pada 2008 dan pada 2026 akan mula buat pembayaran kepada mereka berusia 18 tahun.

"Kalau ada keperluan saya minta tempoh sampai Jun depan untuk menambah itu dengan melihat keperluan program pada 2026 dan beberapa kerja termasuk khairat kematian," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.