SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri akan memperkenal satu garis panduan berhubung pengusaha inap desa khususnya yang dibina di atas tanah pertanian.
EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim berkata pelaksanaan garis panduan itu perlu bagi memastikan tanah pertanian itu tidak diteroka sewenang-wenangnya.
"Penginapan inap desa yang dibina di atas tanah pertanian seperti sawah padi semakin menjadi pilihan destinasi utama percutian. Lambakan inap desa ini dikesan di beberapa kawasan termasuk di anjung utara dan selatan.
"Kerajaan tidak boleh ambil pendekatan dengan melepaskan pengusaha membina inap desa di atas tanah pertanian... mereka kena ikut undang-undang tetapi pada masa kita perlu membantu golongan ini dalam membangunkan industri pelancongan.
"Oleh itu, saya akan minta pihak berkuasa tempatan meneliti dan wujudkan satu garis panduan bagi membantu pengusaha inap desa di kawasan sawah selain memastikan tanah pertanian tidak diteroka kerana ia berkaitan keterjaminan makanan," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Permatang Nurul Syazwani Noh berhubung kesediaan Kerajaan Negeri memberi pelepasan kebenaran merancang kepada pengusaha inap desa di atas tanah pertanian dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Mengulas lanjut, Suee Lim menggalakkan semua pengusaha inap desa berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) dan Tourism Selangor.
"Ini kerana sekiranya tiada pendaftaran dan berlaku sebarang isu membabitkan keselamatan insurans tidak akan menanggungnya," katanya.
Sebelum ini, Suee Lim memaklumkan Kerajaan Selangor melaksanakan proses pemutihan inap desa dengan kaedah bersesuaian bagi mengatasi isu penginapan yang diusahakan atas tanah pertanian.
Katanya langkah itu juga bagi memastikan penginapan yang memberi saingan kepada industri perhotelan beroperasi secara sah dan mengikut piawaian.