ad
AGENSI

Pengendali DRT cadang mahu tambah van, perluas capaian laluan

20 Nov 2024, 12:55 AM
Pengendali DRT cadang mahu tambah van, perluas capaian laluan
Pengendali DRT cadang mahu tambah van, perluas capaian laluan
Pengendali DRT cadang mahu tambah van, perluas capaian laluan
Pengendali DRT cadang mahu tambah van, perluas capaian laluan

SHAH ALAM, 20 NOV: Syarikat pengendali Badan Bas Coach Sdn Bhd mahu memperluas jaringan kawasan van transit atas permintaan (DRT) susulan peningkatan jumlah pengguna terhadap pengangkutan awam itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ibrahim Aiman Mohd Nadzmi berkata pihaknya menyambut baik pengumuman Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah dana bagi memperkasa perkhidmatan itu, tahun depan.

"Satu berita gembira buat pengendali van DRT, terima kasih Kerajaan Negeri. Sejujurnya kami memang memerlukan subsidi daripada kerajaan untuk mengembangkan lagi operasi ini.

"Insya-Allah, kita bercadang untuk memperluas lagi jajaran van DRT terutama di kawasan berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang sering mendapat permintaan tinggi," katanya ketika dihubungi.

[caption id="attachment_674004" align="alignleft" width="384"] Ngai Yong Kong[/caption]

Jelas Ibrahim Aiman, setakat ini terdapat 32 perkhidmatan van DRT yang boleh didapati di kawasan Taman Megah, Bandar Utama, Ara Damansara, Sunway dan USJ.

Sementara itu, salah seorang pengguna Ngai Yong Kong, 70, mengakui pernah menggunakan kedua-dua pengangkutan awam iaitu van DRT dan Bas Smart Selangor.

"Kedua-duanya bagus dan selesa, kadangkala saya menaiki bas sekiranya mahu ke hospital atau bank manakala van DRT pula jika ada urusan di kawasan Subang Jaya.

"Harap inisiatif ini diteruskan dan van DRT dapat ditambah lagi terutama di kawasan Taman Seri Muda, Shah Alam," katanya yang menetap di kawasan berkenaan.

[caption id="attachment_674003" align="alignright" width="368"] Lokman Abd Rashid[/caption]

Seorang pesara Lokman Abd Rashid, 59, memuji inisiatif Kerajaan Selangor yang prihatin terhadap kebajikan rakyat dalam semua aspek termasuk berusaha menyediakan perkhidmatan van.

"Caj yang dikenakan untuk van DRT ini pun tidaklah tinggi, hanya RM2 sahaja jika dibandingkan seperti perkhidmatan Grab, Maxim agak tinggi. Harap dapat tambah lebih banyak van ini terutama di capaian kurang bas," katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Dato' Menteri Besar mengumumkan sejumlah RM20 juta diperuntuk bagi mengoptimum perkhidmatan Bas Smart Selangor dan van DRT tahun depan.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu termasuk menambah zon baharu dan konsep pelaksanaan lebih meluas dengan pengendali perkhidmatan.

[caption id="attachment_586979" align="alignleft" width="455"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari, yang juga ahli parlimen Gombak (tengah) merasmikan van transit Trek Rides Gombak di Dewan MPKK Kampung Wira Damai, Batu Caves pada 12 Jun 2023. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]

Perkhidmatan DRT dilancar 20 Oktober dalam Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023.

Sebelum ini, EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata van DRT mencatatkan hampir 54,000 pengguna setakat Jun, bagi menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor ke laluan sempit dan penduduk ramai.

Sasaran tumpuan adalah kawasan berdekatan pengangkutan awam utama seperti rel dan stesen bas bagi melengkapi perbatuan pertama dan terakhir (first mile and last mile).

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.