ad
AGENDA

Mayat Nur Arina ditemukan 7KM dari lokasi dihanyutkan arus deras

19 Nov 2024, 1:00 PM
Mayat Nur Arina ditemukan 7KM dari lokasi dihanyutkan arus deras

IPOH, 19 NOV: Wanita yang dilapor hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Air Beruk, Kampung Kerunai, Gerik, Ahad lepas, ditemukan lemas di Sungai Rui, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mayat Nur Arina Azizan, 20, ditemukan kira-kira 4 petang tadi, tujuh kilometer dari lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai Unit Anjing Pengesan (K9) dipecahkan kepada 13 sektor di sepanjang sungai bermula dari Sungai Air Beruk hingga ke Dataran Loma.

"Anggota penyelamat melakukan selaman di lokasi dipercayai mangsa berada dan berjaya menemukan mayat mangsa kira-kira tujuh kilometer dari tempat dihanyutkan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk tindakan lanjut manakala operasi SAR ditamatkan pada 5.30 petang.

Dalam kejadian 2.30 petang Ahad lepas, Nur Arina yang mandi-manda bersama ahli keluarga di sungai itu dihanyutkan arus deras selepas turun dari pelampung.

Ibunya yang berusia 48 tahun turut dihanyutkan, namun dapat diselamatkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.