SHAH ALAM, 19 NOV: Peruntukan kepada golongan tua termasuk pembinaan dua lagi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) tahun depan bakal menyokong kesihatan generasi muda dalam mendepani cabaran negara menua.
Wakil rakyat Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet berkata pada era berkenaan, generasi muda ini akan terbeban dengan tanggungjawab besar termasuk tekanan kewangan dan mengurus keluarga.
“Generasi muda terpaksa menanggung dua tanggungjawab besar iaitu menyokong keperluan ibu bapa yang semakin tua sambil membesarkan anak-anak.
“Mereka menghadapi tekanan kewangan dan emosi yang besar. Dengan kos sara hidup yang meningkat, mereka sering berada dalam dilema antara memastikan kesejahteraan ibu bapa, pendidikan anak-anak, dan keperluan diri sendiri.
“Dengan peruntukan bina dua lagi PAWE termasuk menaik taraf pusat sedia ada, ini akan menjadi sokongan kepada generasi muda di samping menjadi tanda keprihatinan kepada komuniti warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Udang-undang Perbekalan 2025 di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Menerusi belanjawan tahun depan, Kerajaan Negeri bakal membuka PAWE di Kuala Langat dan Hulu Selangor selain memperuntuk RM400,000 bagi menaik taraf kemudahan dan pembelian aset di PAWE Ampang, Paya Jaras, Setia Alam dan Seri Kembangan.
Pentadbiran turut menyediakan RM400,000 untuk melaksanakan program dan inisiatif berkaitan kesihatan warga emas antaranya saringan kesihatan serta promosi penjagaan gaya hidup sihat.