KUALA LUMPUR, 19 NOV: Polis menahan lelaki dipercayai terlibat dengan kejadian langgar lari hingga menyebabkan kanak-kanak perempuan maut manakala ibu bapanya cedera di Lebuhraya Bukit Jalil di sini Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pemandu berusia 31 tahun itu ditahan ketika hadir di JSPT Kuala Lumpur semalam untuk memberi keterangan.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 9.50 malam itu, tiga beranak terbabit terjatuh di jalan raya selepas motosikal jenis Honda Beat ditunggang mereka dilanggar kereta milik suspek.
“Ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh orang awam dan anak mangsa berumur tujuh tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular di Facebook video rakaman kamera papan pemuka sebuah kereta berdurasi 28 saat dengan kapsyen mendakwa kereta itu berhenti seketika kemudian membuat pusingan U dan beredar selepas kejadian berlaku.
Rakaman itu, memaparkan kereta jenis BMW 5 Series yang dipandu laju merempuh sebuah motosikal sebelum berhenti agak jauh dari kawasan insiden.
- BERNAMA