ad
ADN

Ribuan peniaga kecil dapat bantuan alat niaga, tingkat taraf ekonomi

19 Nov 2024, 3:36 AM
Ribuan peniaga kecil dapat bantuan alat niaga, tingkat taraf ekonomi

SHAH ALAM, 19 NOV: Seramai 5,645 individu menerima alatan perniagaan menerusi program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan sejak diperkenal bermula 2016.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata lebih RM21.1 juta turut dibelanjakan sepanjang tempoh itu bagi membantu peniaga kecil meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Beliau menjelaskan program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) pula memanfaatkan 410 penerima dengan peruntukan RM2.31 juta sejak dilaksanakan pada 2021.

"Menerusi kedua-dua program ini, ramai individu mampu meningkatkan pendapatan melalui aktiviti ekonomi seperti pertanian, perniagaan kecil dan penternakan.

"Program ini juga menyumbang kepada pembangunan sosial dengan mengurangkan jurang kemiskinan dan meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan masyarakat," katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan tambahan wakil rakyat Pandamaran Tony Leong Tuck Chee, Papparaidu turut mengingatkan penerima supaya tidak menjual alatan tersebut sewenang-wenangnya.

Bermula penggal ini, beliau berkata setiap peralatan yang diterima akan ditampal pelekat dan mereka yang melanggar janji akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Peralatan bantuan ini adalah hasil usaha cukai rakyat dan sepatutnya penerima menggunapakainya untuk kegunaan sendiri selain meningkatkan ekonomi," tegasnya.

Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan diperkenal bertujuan meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan atau mesin.

Jumaat lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan program tersebut diteruskan pada tahun depan dengan peruntukan RM1.5 juta.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.