ad
BERITA UTAMA

Kerjasama dengan JPN pastikan waris tepat dapat bantuan khairat RM1,000

19 Nov 2024, 3:16 AM
Kerjasama dengan JPN pastikan waris tepat dapat bantuan khairat RM1,000

SHAH ALAM, 19 NOV: Selangor sedang meniliti langkah tepat dalam memastikan proses bantuan berjumlah RM1,000 kepada waris penama skim Khairat Darul Ehsan mudah dan lancar.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata tindakan bakal dilaksana seperti kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memastikan hanya waris yang layak membuat tuntutan.

“Ini penting kerana kita tidak mahu orang lain (bukan waris sebenar) datang menuntut. Dalam masa sama, kita mahu urusan mudah sekali gus meringankan beban keluarga mengurus jenazah.

“Kerajaan Negeri tidak mahu terlepas pandang perkara ini. Skim ini komitmen dan iltizam negeri bantu rakyat walaupun ada kawasan mengenakan caj pengurusan jenazah sehingga RM1,200,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Permatang Nurul Syazwani Noh berhubung langkah pemberian dan kajian skim tersebut dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM20 juta untuk melaksanakan skim itu mulai 1 Jun tahun depan, yang memanfaatkan 20,000 individu berusia 50 tahun ke atas serta orang kurang upaya (OKU).

Sebelum ini, bantuan khairat kematian warga emas melalui Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dihentikan pada Mei 2019 sebelum disambung semula pada 2021.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.