KUALA SELANGOR, 18 NOV: Insentif wang tunai RM1,000 melalui program Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) dan baucar buku RM1000 membantu mahasiswa menampung kos pembelajaran di universiti.
Pelajar jurusan Ijazah Perakaunan, Nurul Ashikin Baharuddin, 22, berkata baucar buku pemberian Kerajaan Negeri merupakan usaha yang baik namun jumlah boleh dinaikkan mengikut keperluan semasa ketika pengajian.
“Semester lepas, saya dapat membeli dua buah buku menggunakan baucar RM100 ini dengan setiap buku menelan kos RM50.
[caption id="attachment_673844" align="alignleft" width="348"] Nurul Ashikin Baharuddin[/caption]
“Setiap semester memerlukan enam buah buku mengikut jumlah subjek menjadikan kos keseluruhan sebanyak RM300,” kongsi penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kampus Puncak Alam.
Beliau ditemui pada Majlis Penutup Kejohanan Antarabangsa Silat Tempur yang dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di UITM Cawangan Kampus Puncak Alam di sini, semalam.
Ditanya harapan mengenai pemberian hadiah wang tunai RM1,000, Nurul Ashikin berpandangan segmen bantuan secara one-off perlu diperluas.
“Saya sudah menerima bantuan ini ketika pengajian di peringkat diploma yang banyak meringankan beban. Namun, tidak lagi menerima apabila sambung ijazah sekarang kerana hanya boleh dapat sekali sahaja.
“Jadi, harapan saya Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan untuk memperluaskan bantuan ini kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di universiti,” ujarnya yang berasal dari Klang.
[caption id="attachment_673845" align="alignright" width="345"] Ilyas Nuramin Khairul Jhany Anuar[/caption]
Bagi pelajar jurusan Teknologi Percetakan, Ilyas Nuramin Khairul Jhany Anuar, 22, kedua-dua inisiatif membantu persiapan awal sama ada ketika mendaftar atau sambung pengajian di semester baharu.
“Ia juga membantu pelajar dari golongan berpendapatan rendah (B40) yang khususnya mengambil pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN).
“Pemberian PTPTN ini ambil tempoh agak lama untuk dikreditkan ke akaun pelajar jadi bantuan baucar buku dan hadiah RM1,000 sedikit sebanyak membantu untuk membuat persiapan,” katanya yang menetap di Kota Damansara.
Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat lepas berkata sejumlah RM3 juta diperuntuk untuk meneruskan insentif HPIPT yang memberi bantuan RM1,000 khusus kepada anak-anak Selangor.
Tambah Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan lagi program Baucar Buku #KitaSelangor dengan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi tahun 2025.