SHAH ALAM, 18 NOV: Intipati Belanjawan Selangor 2025 yang dibentang Jumaat lalu membuktikan pentadbiran kini berada dalam kedudukan selesa sekali gus mampu merancang banyak pembangunan demi manfaat rakyat.
Pengerusi kelab penyokong Kerajaan Selangor berkata menerusi lima teras utama, Selangor berpandangan jauh selain turut merangka langkah jangka panjang terutama dalam mendepani ekonomi global dan era berevolusi teknologi.
“Sebagai contoh peruntukan RM5 juta untuk pembangunan kecerdasan buatan (AI). Industri ini memainkan peranan penting dalam mengubah landskap ekonomi serta sosial. Ini menunjukkan keazaman negeri untuk menjadi perintis sebagai negeri pintar.
“Usaha ini turut beri manfaat kepada Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan ke 11 tersibuk dalam aspek hab logistik. AI dapat tingkatkan kecekapan operasi selain kurangkan kos dan kukuhkan daya saing global,” kata Azmizam Zaman Huri
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2025 di Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
[caption id="attachment_673275" align="alignnone" width="851"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tambah beliau perbelanjaan tahun depan juga menunjukkan keprihatinan tinggi kepada aspek pembangunan sosial dan kebajikan rakyat, antaranya penerusan pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).
Dengan peruntukan sebanyak RM10 juta, beliau menggambarkan negeri bukan hanya menumpu kepada usaha memajukan ekonomi semata sebaliknya mahu rakyat menerima manfaat menyeluruh.
“Inisiatif ini wajar dipuji kerana program terbukti berjaya meningkatkan pencapaian pelajar dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan rekod lulus 91.14 peratus pada 2023.
“Belanjawan Selangor turut sediakan peruntukan fokus kepada pendidikan dan vokasional. Bukan hanya tumpu kemahiran tetapi sediakan laluan kerja untuk bantu belia untuk melibatkan diri dalam sektor teknologi tinggi,” katanya.
Kerajaan Selangor memperuntuk RM3 bilion dalam belanjawan tahun hadapan bagi melaksanakan perbelanjaan mengurus dan meneruskan pembangunan negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.7 bilion atau 56.7 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.3 bilion bagi pembangunan.
Bagi peruntukan mengurus, beliau menjelaskan perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan (objek am 2000) merupakan komponen terbesar mencakupi 38.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.