ad
ADN

Dana RM10 juta bantu selesai isu strata khususnya pangsapuri lama

18 Nov 2024, 11:00 AM
Dana RM10 juta bantu selesai isu strata khususnya pangsapuri lama

SHAH ALAM, 18 NOV: Peruntukan RM10 juta sebagai dana awal Tabung Penyelesaian Strata membantu menyelesaikan isu pembangunan tanpa hak milik strata khususnya pangsapuri lama.

Mengambil contoh Apartment Spectrum dan Indah Villa di PJS 11, wakil rakyat Subang Jaya memaklumkan kedua-dua hartanah ini telah wujud 35 tahun tetapi sehingga kini masih tiada hak milik strata.

"Kedua-dua pangsapuri ini wujud sebelum Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Petaling Jaya bertukar status kepada bandaraya. Oleh itu, kita tidak dapat kenal pasti kebenaran merancang dan pelan bangunan.

"Pemaju sudah gulung tikar walaupun pemilik tanah atau pun 'master title' masih wujud sedangkan tanggungjawab strata adalah di bawah pemaju. Jadi dana ini amat membantu urusan melukis semula pelan bangunan yang tidak boleh dicari semula," kata Michelle Ng Mei Sze dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Membahas Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2025, Michelle turut menyokong usaha Kerajaan Negeri yang menyatakan komitmen untuk menandatangani Akta 672.

"Dengan kenaikan kos operasi, Kerajaan Negeri perlu memikirkan penyelesaian untuk memperoleh dana tambahan bagi mengekalkan mutu perkhidmatan yang tinggi.

"Bagaimanapun, bila Kerajaan Negeri menandatangani dan langkah-langkah yang perlu diambil ke arah menandatangani kerana sebagai Kerajaan Negeri kita boleh membantu dengan menyokong ke arah tersebut," katanya.

Sebelum ini, Dato' Menteri Besar ketika membentang Belanjawan Selangor 2025 memaklumkan RM10 juta diperuntuk sebagai dana awal Tabung Penyelesaian Strata di Selangor tahun depan.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata peruntukan khas itu dicadang bagi meningkatkan peratusan penyelesaian pembangunan tanpa hak milik strata di Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.