SHAH ALAM, 18 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan ribut petir melanda Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang sehingga 7 malam ini.
Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan keadaan sama diramal berlaku di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Pulau Pinang selain beberapa kawasan Perak, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah
MetMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.