SEPANG, 18 NOV: Penambahan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) tahun depan membuktikan komitmen jitu Selangor membentuk komuniti warga emas produktif dalam mendepani cabaran negara menua.
Pesara, Nasharuddin Ayob, 67, berkata PAWE yang tersedia dengan pelbagai aktiviti sesuai untuk warga emas yang sihat dan mampu menguruskan diri wajar diperluas sebagai pusat kegiatan sosial golongan itu.
[caption id="attachment_673791" align="alignleft" width="347"] Nasharuddin Ayob[/caption]
“Tidak semestinya sudah bersara kita terperuk di rumah saja. Perlu pastikan ada sesuatu yang kita buat untuk pastikan otak terus aktif. Macam saya minat bidang elektrik jadi saya banyak buat aktiviti berkaitan.
“Malah selepas bersara saya ada ajar tuisyen Matematik kepada anak-anak tingkatan lima. Harus bersyukur diberi kesempatan hidup di usia ini dan ia bukan untuk disia-siakan,” katanya ketika ditemui.
[caption id="attachment_673792" align="alignright" width="343"] Roosjelilawati Mohd Ali[/caption]
Suri rumah, Roosjelilawati Mohd Ali, 61, berkata beliau turut aktif menyertai persatuan di kawasan perumahannya justeru amat menyokong penubuhan pusat aktiviti berkenaan.
“Di sana warga emas boleh berkumpul dan buat aktiviti bersama-sama sekali gus meluaskan pergaulan dengan komuniti sekitar. Tiadalah mereka hidup dalam kesunyian,” katanya.
Pekerja swasta, Muhammad Alif Azli, 27, berkata sebagai penduduk di Kampung Kundang, Kuala Langat beliau amat menyokong penubuhan pusat itu di kawasan berkenaan memandangkan kebanyakan warga emas di kawasan itu memang aktif melakukan aktiviti kemasyarakatan.
[caption id="attachment_673793" align="alignleft" width="348"] Muhammad Alif Azli[/caption]
“Mereka sering terlibat dalam aktiviti rewang jika ada kenduri. Saya juga ada ayah yang sudah memasuki usia sebagai warga emas, jadi pusat seperti ini dengan aktiviti pelbagai pasti disokong komuniti warga emas di sini,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dua lagi PAWE bakal dibuka di Kuala Langat dan Hulu Selangor tahun depan.
Kerajaan Negeri juga memperuntuk RM400,000 untuk menaik taraf kemudahan dan pembelian aset di PAWE Ampang, Paya Jaras, Setia Alam dan Seri Kembangan pada 2025.
PAWE merupakan tempat bagi warga emas menjalankan program dan aktiviti harian di dalam komuniti dengan perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan warga emas meliputi kerjasama strategik antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.