SHAH ALAM, 18 NOV: Sistem Penilaian Kesediaan Sijil (CRA) yang dilancar Kerajaan Negeri menerusi syarikat HIS Toyyiba Sdn Bhd bakal meningkatkan pengeluaran sijil halal kepada 500 setahun.
EXCO Industri Halal berkata sistem itu dapat membantu pemohon membuat persediaan bagi mengurangkan risiko permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) ditolak berikutan syarat tidak dipenuhi.
[caption id="attachment_673761" align="aligncenter" width="815"] EXCO Industri Halal Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap sempena mesyuarat ketiga (bajet) penggal kedua Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor pada 18 November 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“CRA ialah sistem penilaian kendiri atas talian berhubung tahap kesediaan sesebuah organisasi sebelum memohon SPHM. Ia dibangunkan untuk menilai semua skim SPHM berdasarkan saiz organisasi.
“Setakat September, sebanyak 7,300 premis di negeri ini memiliki sijil halal aktif dengan 2,705 merupakan syarikat perniagaan,” kata Dr Mohammad Fahmi Ngah pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata sistem CRA akan mengeluarkan laporan berhubung penambahbaikan yang perlu dibuat pemohon selain anggaran kos dan masa diperlukan bagi mendapatkan SPHM.
Ketika membentang Belanjawan 2025 pada 18 Oktober, perdana menteri berkata seramai 100 lagi juruaudit halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan ditambah bagi mempercepatkan urusan pengeluaran sijil halal.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sistem MYeHALAL juga ditambah baik bagi memusatkan 20 agensi kerajaan dan 100 badan pensijilan halal luar negara di bawah satu platform.