Oleh UFAIRAH TARMIDZI
SHAH ALAM, 17 NOV: Hasrat untuk menubuhkan dua lagi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) membuktikan Kerajaan Negeri sedia mendepani cabaran negara menua menjelang 2030.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Putra Business School (PBS) berkata ia perlu dilakukan segera bagi memenuhi keperluan sosial golongan berkenaan selain mengambil kira peratusan warga tua yang kian meningkat.
"Pembangunan infrastruktur untuk warga emas harus dimulakan sekarang tanpa menunggu beberapa tahun akan datang baru memikirkannya.
[caption id="attachment_496953" align="alignleft" width="341"] Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Putra Business School (PBS) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff[/caption]
"Ia kerana kita lihat bukan sahaja bilangan penduduk warga emas akan meningkat tetapi kos sara hidup, kos untuk mendepani kehidupan sebagai warga emas juga adalah satu cabaran di setiap negeri," kata Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
Beliau berkata demikian mengulas hasrat Kerajaan Negeri menubuhkan lebih banyak PAWE dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 oleh Dato' Menteri Besar.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur yang kondusif juga amat penting kerana akan memberi impak terhadap fizikal dan emosi kepada golongan warga emas.
Jumaat lalu, Dato’ Seri Amirudin mengumumkan cadangan penubuhan dua PAWE baharu di Kuala Langat dan Hulu Selangor menjelang 2025 yang menyasarkan warga emas yang sihat dan dapat menguruskan diri mereka sendiri.
Jelasnya, cadangan tersebut juga akan menyaksikan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), agensi kerajaan lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM400,000 bagi menaiktaraf dan pembelian aset di empat buah PAWE iaitu PAWE Ampang, PAWE Paya Jaras, PAWE Setia Alam dan PAWE Seri Kembangan.