TASEK GELUGOR, 17 NOV: Lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan yang menyaksikan lelaki tempatan parah apabila bebola mata kirinya dicungkil, dalam kejadian di Jalan Ara Kuda di sini semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan susulan pergaduhan kira-kira 2 petang.
“Berdasarkan siasatan awal lelaki berumur 52 tahun itu dikatakan mengganggu suspek, sebelum lelaki warga asing berkenaan bertindak memukul dan mencederakan kedua-dua belah matanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata lelaki itu dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut dan keadaannya kritikal, manakala suspek yang ditahan di lokasi kejadian, kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA