SEPANG, 17 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor berkenan mencemar duli merasmikan Festival Makanan Warisan Selangor 2024 di Pantai Bagan Lalang di sini, hari ini.
Pada majlis itu Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atas penyediaan pavillion makanan warisan mengikut daerah di Selangor.
Baginda selepas itu berkenaan menyaksikan penyampaian sijil pengiktrafan Malaysia Book of Records (MBOR) yang diterima Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) atas penyertaan terbanyak bagi sesi makan punten melibatkan 2,954 peserta.
Sijil pengiktirafan disampaikan wakil MBOR Mohamad Nazrul Hafizi kepada kepada EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah.
Terdahulu keberangkatan pada jam 11 pagi Baginda disambut Borhan, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San dan isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Muhamad.
Festival yang memasuki tahun ketiga penganjuran itu kali ini menampilkan menu utama iaitu Punten yang merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa dari kawasan Tanjung Karang, Kuala Selangor.
Punten adalah makanan seperti nasi himpit yang diperbuat daripada santan, kelapa parut, garam dan daun pandan dan dimakan dengan sambal bilis hijau.
Borhan ketika menyampaikan sembah ucapan berkata program berkenaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepelbagaian makanan tradisi terdapat di Selangor serta kepentingan untuk memelihara dan menghargai budaya makanan tempatan.
“Program ini juga berperanan untuk menyokong pengusaha dan penggiat makanan warisan di samping menjadikan kulinari masakan tradisional sebagai salah salah satu tarikan pelancong,” katanya.