ad
AGENDA

Suami isteri maut dirempuh kereta di lampu isyarat

17 Nov 2024, 1:15 AM
Suami isteri maut dirempuh kereta di lampu isyarat

PASIR GUDANG, 17 NOV: Suami isteri maut selepas motosikal ditunggang dirempuh kereta disyaki dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol di simpang empat lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian 4 pagi itu membabitkan motosikal jenis Honda Vario dinaiki pasangan itu dengan kereta Perodua Alza.

Katanya kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta berkenaan datang dari arah Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

"Sampai di lokasi kejadian iaitu simpang empat lampu isyarat, pemandu kereta itu meneruskan perjalanan tanpa berhenti walaupun lampu isyarat masih merah, menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

"Pada masa sama, motosikal pasangan itu sedang meneruskan perjalanan menghala ke bandar Pasir Gudang, menyebabkan pelanggaran.

"Akibat pelanggaran itu, penunggang iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun dan pembonceng, wanita berusia 35 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Menurut Mohd Sohaimi, pemandu kereta lelaki berusia 34 tahun, ditahan dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan.

"Ujian air kencing dilakukan dan mendapati pemandu terbabit bebas daripada sebarang jenis dadah. Siasatan masih lagi diteruskan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan kematian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.