SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi memberi tumpuan kepada kebajikan masyarakat Orang Asli khususnya membaik pulih kediaman mereka.
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu bagi memastikan masyarakat Orang Asli mendapat kesejahteraan dan keselesaan dalam arus kemodenan.
"Pembangunan masyarakat Orang Asli dalam Negeri Selangor sentiasa diperkukuh dan diperkasa bagi memastikan masyarakat Orang Asli lebih berdaya saing dalam arus globalisasi yang kian mencabar," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor semalam.
[caption id="attachment_673403" align="aligncenter" width="1082"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2025 di lobi Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 November 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM1 juta bagi meningkatkan kemudahan di samping mengekalkan keaslian dan keunikan Perkampungan Budaya Mah Meri di Pulau Carey.
Amirudin berkata, ini kerana Perkampungan Budaya Mah Meri di Pulau Carey merupakan salah satu tarikan utama kepada pengunjung serta pelancong dari dalam dan luar Selangor.
"Namun begitu, pentadbiran ini mendapati kawasan tersebut mengalami kekangan untuk menampung kehadiran pelancong yang tinggi terutama pada musim pelancongan ataupun cuti perayaan," katanya.