SHAH ALAM, 16 NOV: Sejumlah RM1 juta diperuntuk kepada Akademi Literasi al-Quran Selangor (ALAS) dan Akademi Turath Selangor bagi memperkasa pengurusan dan pengajian al-Quran serta kitab Turath.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu bakal menyuburkan semula akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah selain mampu menggalakkan penyertaan penduduk luar bandar dalam program pengajian kitab suci.
“ALAS ditubuh sejak 2022 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) menjadi hab pengajian al-Quran negeri. Akademi ini memberdaya latihan al-Quran kepada imam, guru sekolah rendah agama (SRA), SRA Integrasi, Kelas Fardhu Ain Inteegrasi (KAFAI) dan pemegang tauliah mengajar kitab suci ini.
[caption id="attachment_673275" align="aligncenter" width="1120"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Masjid negeri juga mengurus dan mengembangkan pengajian turath menerusi Akademi Turath Selangor. Penubuhan akademi ini bertujuan menghidupkan sistem pengajian Islam mengikut sukatan tradisional atau dilaksanakan di pondok nusantara.
“Akademi telah menyusun modul pengajian mengikut tahun serta akan menumpukan kitab turath sama ada Jawi mahupun bahasa Arab sebagai sumber rujukan utama,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2025 semalam.
Bermula tahun lalu, Kerajaan Negeri menganjur Festival Turath Islami Selangor bertujuan mengangkat perbincangan dan penghayatan tentang kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.
Festival kali pertama itu merangkumi lapan acara termasuk Daurah Afkar Ihya Ulumuddin, seminar penghayatan Ihya Ulumuddin dan interaksi bersama pemegang taruh seperti pimpinan pendidikan dan ia diteruskan pada Mei lalu.
[caption id="attachment_665604" align="aligncenter" width="1041"] Tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian secara membaca sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]