SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor meneruskan tradisi sebagai negeri penyayang dengan menumpukan pelbagai inisiatif kebajikan khasnya melalui teras ketiga dalam Belanjawan 2025.
Selain melaksanakan program sedia ada, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beberapa agenda baharu turut ditambah seperti Skim Khairat Darul Ehsan.
Beliau menjelaskan belanjawan tahun depan turut menumpukan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan menyediakan tapak asas bagi perkembangan ekonomi negeri.
“Secara keseluruhan, ia untuk mencari titik baharu bagi meneroka peluang serta ruang ekonomi yang lebih besar,” katanya selepas membentangkan Belanjawan 2025 di sini hari ini.
[caption id="attachment_673403" align="alignleft" width="354"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2025 di lobi Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 November 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Bermula 1 Jun 2025, seramai 2,000 rakyat berusia 50 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) bakal menerima bantuan khairat kematian berjumlah RM1,000.
Program tersebut akan diselaraskan Yayasan Warisan Anak Selangor dengan peruntukan RM20 juta.
Bagi memperluas teknologi AI dalam pelbagai sektor pula, Selangor bersama Google Cloud Malaysia bakal menerokai bidang tersebut, termasuk membangunkan pusat inkubator.
Kerajaan Selangor memperuntuk RM3 bilion dalam belanjawan tahun hadapan bagi melaksanakan perbelanjaan mengurus dan meneruskan pembangunan negeri.
Sebanyak RM1.7 bilion atau 56.7 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.3 bilion bagi pembangunan dengan tumpuan terhadap sektor infrastruktur berbanding sektor sosial.
Bertemakan Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani, belanjawan 2025 digerakkan melalui lima teras utama iaitu:
-kecerdasan buatan dan pemangkin kemajuan ekonomi negeri
-mendukung hasrat alam sekitar mampan dan infrastruktur berkualiti
-memupuk negeri penyayang
-menjuarai tadbir urus cekap dan wibawa
-membugar ekonomi kebudayaan dan pembangunan generasi muda