ad
AGENDA

Dasar baharu singkatkan tempoh lulus kebenaran merancang kepada 14 hari

15 Nov 2024, 2:15 PM
Dasar baharu singkatkan tempoh lulus kebenaran merancang kepada 14 hari

SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor bakal memperkenalkan Dasar Speed Selangor bagi memendekkan tempoh kelulusan Kebenaran Merancang (KM) kawasan industri terancang dari 3.5 bulan kepada 14 hari.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata dasar yang dijangka bermula April tahun depan sejajar dengan agenda Kerajaan Negeri untuk memudahcara perniagaan.

"Semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diarahkan untuk melaksanakan penambahbaikan kepada proses dan prosedur.

"Bagi permohonan kebenaran merancang fast track, kesemua PBT akan menyeragamkan prosedur masing-masing dan kelulusan akan dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari," katanya.

Membentangkan Belanjawan Selangor 2025, Amirudin berkata Dasar Speed Selangor turut memberi tumpuan kepada industri baharu seperti kecerdasan buatan dan industri sokongan, semikonduktor termasuk elektrik dan elektronik.

Selain itu pembinaan taman industri, perumahan termasuk kategori mampu milik, aeroangkasa serta bidang pembuatan berteknologi tinggi.

Katanya, Selangor ingin menjadi pilihan utama pelabur dalam dan luar negara bukan sahaja di Malaysia tetapi di Asia.

"Ini tidak bermaksud dasar mesra pelabur ini akan mengabaikan rakyat dan komuniti pekerja.

"Dengan memudahcara proses dan kemasukan pelabur kita dapat menawarkan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti dan bermaruah dengan lebih pantas," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.