ad
AGENDA

RM8.5 juta sedia khidmat kepakaran urus sungai, RM2 juta tingkat sistem saliran

15 Nov 2024, 2:11 PM
RM8.5 juta sedia khidmat kepakaran urus sungai, RM2 juta tingkat sistem saliran

SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor memperuntuk RM8.5 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bagi menyediakan perkhidmatan kepakaran dalam pengurusan sungai secara bersepadu.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata perkhidmatan itu bagi memastikan lembangan sungai diurus dengan sempurna dan keperluan pemeliharaan kuantiti dan kualiti sumber air.

"Selain itu, bagi perancangan sistem saliran secara lebih bersepadu, Kerajaan Negeri menerusi JPS Selangor akan menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) yang melibatkan daerah Hulu Langat dengan anggaran kos RM500,000.

"JPS Selangor juga akan melaksanakan projek Kolam Takungan Banjir di Rawang Integrated bagi mengatasi masalah banjir di Sungai Gong di Gombak dengan anggaran kos projek RM500,000," katanya.

Membentang Belanjawan Selangor 2025, Amirudin turut memaklumkan peruntukan RM2.07 juta untuk meningkatkan dan menambahbaik sistem saliran sedia ada di kawasan yang telah dikenalpasti.

"Peruntukan itu bagi pembangunan sistem saliran lebih bersepadu dan komprehensif dan memastikan saliran dalaman dapat menampung jumlah hujan dan air larian yang tinggi.

"Di samping itu, pembangunan pesat yang berlaku di kawasan sekitar juga akan mendapat kesan daripada sistem saliran yang berkualiti dan sempurna," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.