SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri akan mengubah suai Hotel Carlton di Seksyen 13 di sini, untuk dijadikan Gedung E-Sports Selangor dengan peruntukan RM1 juta.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan memberi peluang kepada negeri menjadi tuan rumah kepada pertandingan e-sukan di peringkat Asean dan antarabangsa.
"Mengambil iktibar daripada kejayaan Selangor Red Giants (SRG) mengalahkan Falcons AP Bren Sport 4-2 dalam pertandingan Mobile Legends Bang Bang 2024, inilah waktu untuk kita membina ekosistem serta fasiliti sukan yang mampu mengasah bakat anak-anak muda Selangor.
"Tambahan kepada itu, selepas kemenangan SRG, nama Selangor semakin dihormati dan disegani dalam dunia e-sports. Saya juga yakin lebih ramai anak muda bakal menceburi bidang ini tidak lama lagi," katanya membentangkan Belanjawan 2025.
Pada 2022, Selangor berhasrat membangunkan pusat pembangunan e-sukan dengan kerjasama swasta dan negeri menggunakan bangunan bekas Hotel Carlton yang diubah suai.
Pada Julai lalu, SRG melakar sejarah baharu dalam arena e-Sukan negara selepas muncul juara pada kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Arab Saudi.
SRG mencatat kemenangan 4-3 ke atas pasukan Filipina Falcons AP Bren Sport, sekali gus memahat nama sebagai juara baharu dan membawa pulang hadiah RM4.6 juta.