SHAH ALAM, 15 NOV: Sejumlah RM20 juta diperuntuk bagi mengoptimum perkhidmatan Bas Smart Selangor dan van transit atas permintaan (DRT) tahun depan.
Dato' Menteri Besar berkata inisiatif itu termasuk menambah zon baharu dan konsep pelaksanaan lebih meluas dengan pengendali perkhidmatan.
"Kerajaan Negeri akan menambahbaik sistem rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam melalui pemerkasaan perkhidmatan DRT yang telah dilaksanakan pada 2024.
"Pentadbiran ini akan terus memberi komitmen kepada ikhtiar membangunkan sektor pengangkutan yang mampan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menyokong kesejahteraan rakyat seiring dengan status negeri maju," kata Dato' Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025.
Selain itu Kerajaan Negeri bercadang menjalankan Kajian Pelan Induk Mobiliti Selangor dengan peruntukan RM1 juta bagi memacu dan memperkasa sistem pengangkutan awam secara menyeluruh serta bersepadu.
Sebelum ini, Amirudin berkata DRT diperkenal bagi melengkapkan ekosistem pengangkutan awam berdasarkan permintaan menerusi aplikasi penghalaan pintar.
Katanya, perkhidmatan itu boleh melengkapi sistem Bas Smart Selangor yang tidak mampu mencapai laluan sempit dan padat.