SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri menyasar memperoleh kutipan hasil sejumlah RM2.35 bilion tahun hadapan, maklum Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu bersandarkan pencapaian kutipan hasil RM2.4 bilion setakat ini sekali gus mengatasi sasaran awal RM2.2 bilion.
“Tahun ini kita anggarkan defisit kita lebih RM400 juta, dengan anggaran hasil kita RM2.2 bilion, namun pendapatan negeri sudah mencecah pada RM2.4 bilion.
“Jadi, mungkin akan menjadi surplus budget (belanjawan lebihan). Negeri letak sasaran RM2.35 bilion, tidak mahu terlalu ‘ambitious’, masih berhati-hati namun ia usaha berterusan untuk memacu ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2025 di sini hari ini.
Amirudin turut memaklumkan Selangor merekodkan nilai rizab sejumlah RM4.3 bilion yang merupakan tertinggi sehingga kini.
“Ia belum muktamad sebab kebiasaanya menjelang akhir tahun rizab akan digunakan untuk bayaran-bayaran tertentu sama ada diperlu atau dikenakan kepada Kerajaan Negeri.
“Negeri menjangkakan Selangor akan mencapai jumlah rizab di bawah paras RM4 bilion akhir tahun ini,” jelasnya.