ad
AGENDA

Dana RM9 juta naik taraf infrastruktur Unisel, UIS, STDC

15 Nov 2024, 12:17 PM
Dana RM9 juta naik taraf infrastruktur Unisel, UIS, STDC

SHAH ALAM, 15 NOV: Sebanyak RM9 juta diperuntuk bagi projek menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur tiga institusi pengajian tinggi bawah Kerajaan Selangor, tahun depan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata ia membabitkan Universiti Selangor (Unisel), Universiti Islam Selangor dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC).

"Peruntukan ini termasuk bagi menaik taraf infrastruktur asrama Yayasan Selangor di Klang dan Sabak Bernam bagi memastikan setiap pelajar berada dalam persekitaran kondusif sepanjang tempoh pengajian," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025.

Dalam pada itu, sebagai usaha memperkasa mahasiswa dalam dan luar negara, Amirudin memberitahu sebanyak RM8.7 juta diperuntuk bagi Program Pembangunan Mahasiswa Anak Selangor pada tahun hadapan.

"Kerajaan Negeri juga lebih proaktif dalam memastikan capaian kepada mahasiswa dapat dilaksanakan secara lebih pantas dan menyeluruh dengan membuat libat urus berterusan dengan persatuan mahasiswa dan belia.

"Ia seperti Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Selangor (PERMAS), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Majlis Belia Selangor, Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS).

"Melalui jaringan kerjasama ini, mahasiswa dan belia Selangor dapat sama-sama memberikan pendapat dan bertukar pandangan mengenai program dan inisiatif yang dapat meningkatkan kompetensi mahasiswa," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.