SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri komited melaksana pelbagai program, latihan, promosi serta pemberian geran bagi menggalak pertumbuhan keusahawanan, selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Menerusi pembentangan Belanjawan Negeri 2025, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyenarai program sedia ada yang akan diteruskan pada tahun depan, antaranya:
i. Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS)
Program ini akan diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2 juta bagi terus memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan mikro di Negeri Selangor.
ii. Latihan keusahawanan
Program ini akan diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 juta
iii. Promosi usahawan
Sebanyak RM1 juta diperuntuk bagi menggalak dan menyokong usahawan berpotensi menembusi pasaran dalam dan luar negara.
iv. Program pembangunan dan pengkomersialan produk
Sebanyak RM400,000 diperuntuk dalam menggalakkan pengkomersialan produk usahawan, dengan usaha sama produksi filem, drama dan iklan tempatan.
v. Program pembangunan usahawan mikro melalui kerjasama agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan
Program Pembangunan Usahawan Negeri Selangor akan diteruskan dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) melalui program sedia ada iaitu SAY ASPIRE dan SAY LEAD yang membangunkan usahawan eksport dan usahawan yang terdiri daripada golongan OKU.
Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri memperuntuk RM5 juta bagi meneruskan Platform Selangor (PLATS) bertujuan memperkasa perusahaan mikro kecil sederhana di Selangor.
Menurutnya, program berkenaan bakal memperkenal manfaat terbaharu iaitu U-PLATS Expand dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).
"Antara program yang akan ditawarkan dalam U-PLATS Expand adalah program bersama Pernas. Peniaga yang telah dilatih di fasa 1 dan 2 akan dibimbing untuk mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh negara dan seterusnya ke peringkat antarabangsa," katanya.
PLATS diperkenal pada Ramadan 2020 bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.