SHAH ALAM, 15 NOV: Sejumlah RM3 juta diperuntuk bagi melaksana program memulihara 60 anak sungai di tiga lembangan utama.
Dato' Menteri Besar berkata program pengawasan bawah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertujuan memastikan kualiti air sungai dalam keadaan baik dan terpelihara.
"Menerusi program ini, masalah kualiti air dapat dikenalpasti dan pemuliharaan dapat dilaksana sekitar 60 anak sungai bagi tiga lembangan sungai utama dengan cadangan peruntukan RM3 juta tahun depan," kata Dato' Seri Amirudin Shari.
Membentangkan Belanjawan Selangor 2025, beliau turut memaklumkan 12,257 premis akan dilesenkan di bawah Peraturan Dasar Pelepasan Sifar atau Zero Discharge Policy (ZDP) pada tahun hadapan.
"Tahun depan sebanyak 12,257 premis dilesenkan di bawah ZDP meliputi 9,000 premis industri, 1,000 kawasan pembangunan kerja tanah, 1,050 premis penternakan, dan bakinya untuk aktiviti-aktiviti lain.
"Melalui pelesenan ini, dijangka sejumlah RM35.41 juta akan dikutip dan memberikan hasil kepada negeri untuk diperuntukkan bagi usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air," katanya.
ZDP yang dilancar sejak 10 Ogos lalu dijangka meningkatkan keterlibatan semua pengusaha dan premis dalam meminimumkan kuantiti serta memastikan pematuhan had piawaian kualiti terhadap pelepasan air kembalian dan efluen ke dalam sumber air dan persekitaran.
Sebelum ini, EXCO alam sekitar berkata melalui ZDP semua air sisa atau efluen yang terhasil daripada aktiviti harian manusia akan dikawal, diurus dan dipastikan perlu melalui proses rawatan sebelum dilepas masuk ke sumber air.
Menurut Jamaliah Jamaluddin, dasar bagi memperkasa pengurusan sumber air negeri ini juga tidak menambah kos operasi dan menjurus kepada usaha memupuk kesedaran serta penyediaan infrastruktur alam sekitar.