ad
AGENDA

Selangor peruntuk RM10 juta biasiswa lanjut pengajian, geran penyelidikan

15 Nov 2024, 11:17 AM
Selangor peruntuk RM10 juta biasiswa lanjut pengajian, geran penyelidikan

SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor memperuntuk dana RM10 juta khusus untuk mahasiswa dan pelajar negeri ini melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Perbelanjaan itu untuk Geran Penyelidikan Negeri Selangor dengan peruntukan RM1 juta, Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (RM8 juta) Program BITARA, biasiswa anak Selangor (RM1 juta).

Dato’ Menteri Besar memaklumkan geran penyelidikan khusus kepada para penyelidik dari universiti awam bagi menggalakkan kajian terkini khususnya dalam bidang teknologi dan memberi manfaat kepada Selangor.

“Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan program ini (TKWBNS) untuk memberi peluang kepada anak-anak Selangor melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka dunia. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri meneruskan insentif pembiayaan pendidikan sebanyak RM8 juta bagi memastikan kebajikan mahasiswa terjamin,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ketika membentang belanjawan negeri, beliau turut menjelaskan Program BITARA dijangka akan ditambah baik daripada modul sebelumnya sekali gus melahirkan pelajar serba boleh dan cemerlang dalam pelbagai aspek.

“Semoga program-program ini dapat menjadikan mahasiswa Selangor unggul di pelbagai peringkat termasuk meningkatkan martabat mahasiswa Selangor di mata dunia,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.