SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat mengangkat sukan pickleball termasuk memperkenalkannya di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 pada 2026.
Dato' Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta bagi menjayakan pesta pickleball merangkumi kejohanan terbuka dan pertandingan di sekolah.
Menurut Dato' Seri Amirudin Shari pihak, berkuasa tempatan (PBT) juga akan menyedia fasiliti gelanggang pickleball di taman awam dengan menaik taraf gelanggang badminton sedia ada.
"Antara faktor penarik pickleball adalah cara dan budayanya yang inklusif, tidak kira muda ataupun warga emas, lelaki atau wanita, semua dapat menyertai dan mula mengangkat paddle dengan pantas.
"Meskipun sukan ini bermula di Amerika Syarikat, beberapa pakar mengunjurkan bahawa Asia akan menjadi medan pickleball dunia dengan penambahan 100 juta pemain baharu dalam tempoh lima tahun," katanya membentangkan Belanjawan Negeri 2025.
Sebelum ini, Amirudin dilapor berkata acara sukan dan rekreasi dijadikan teras inisiatif dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025 bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, sukan pelancongan merupakan tarikan utama di Selangor, antaranya seperti larian, basikal dan yang terbaharu sukan pickleball.