SHAH ALAM, 15 NOV: Prestasi kewangan negeri berada pada tahap baik dengan kedudukan rizab semasa mencecah RM4.37 bilion setakat 7 November, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.
Beliau menjelaskan pertambahan sebanyak RM751.46 juta berbanding akhir tahun lalu selaras perancangan belanjawan yang diluluskan bagi mensejahterakan ekonomi dan kehidupan rakyat.
"Sehingga 7 November, belanja pembangunan mencapai 69.81 peratus, manakala belanja mengurus mencatatkan 80.57 peratus," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025.
Beliau berkata hasil negeri mencapai kutipan RM2.429 bilion bersamaan 110.43 peratus setakat 13 November lalu, daripada anggaran hasil tahun ini sebanyak RM2.2 bilion.
Daripada jumlah itu, jelas Amirudin, hasil cukai merekod kutipan RM704.95 juta, hasil bukan cukai (RM1.497 juta), terimaan bukan hasil (RM226.55 juta) dalam tempoh sama.
"Penyumbang utama hasil negeri adalah premium tanah sebanyak RM1.048 juta, penyumbang kedua cukai tanah RM592.65 juta dan penyumbang ketiga pemberian persekutuan RM209.20 juta," katanya.