SHAH ALAM, 15 NOV: Seramai 20,000 rakyat negeri ini dijangka menerima khairat kematian berjumlah RM1,000 mulai Jun tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skim Khairat Darul Ehsan melibatkan peruntukan RM20 juta itu dikhaskan kepada individu berusia 50 tahun ke atas serta golongan kurang upaya (OKU).
“Satu lagi aspek mencabar dalam kehidupan harian warga emas serta waris adalah kos pengurusan jenazah, pengebumian serta perbelanjaan kecemasan terutama jika individu tersebut adalah pencari nafkah utama keluarga.
“Khusus bagi warga Selangor, Kerajaan Negeri memperkenalkan program baharu, Khairat Darul Ehsan iaitu bantuan khairat kematian berjumlah RM1,000 bagi semua rakyat berumur 50 tahun ke atas serta warga OKU,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2025.
Sebelum ini bantuan khairat kematiaan warga emas melalui Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dihentikan pada Mei 2019 sebelum disambung semula pada 2021.
Menerusi belanjawan tahun berkenaan, Amirudin berkata sejumlah RM7.5 juta diperuntukan bagi melayakkan waris berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) menerima RM500 sebagai bantuan.