SHAH ALAM, 15 NOV: Insentif Muassasah Haji tahun ini yang dinaikkan kepada RM1,000 daripada RM500 sebelum ini akan diteruskan kepada jemaah tahun depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif dilaksana Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu melibatkan peruntukan RM6 juta.
“Insentif akan diteruskan setelah mendapat sambutan amat baik. Ketika di Makkah menunaikan ibadah haji, ramai jemaah haji Selangor yang ditemui memuji dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri.
“Tahun depan, pentadbiran turut memperuntuk RM1.2 juta bagi meneruskan program tajaan penuh kepada rakyat berpendapatan rendah (B40) yang menunaikan haji,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2025.
Pada 2022, insentif berkenaan diteruskan selepas tertangguh dua tahun akibat Covid-19 dengan peruntukan RM1.5 juta yang memberi manfaat kepada 3,000 jemaah.
Bagaimanapun, sumbangan berkenaan dinaikkan sekali ganda bermula tahun ini selain jemaah turut menerima kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losyen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.
Julai lalu, Amirudin memaklumkan insentif berkenaan bakal dinaikkan kepada RM2,000 pada 2026 selain sudah mengadakan perbincangan dengan Lembaga Tabung Haji bagi melancar urusan agihan.