SHAH ALAM, 15 NOV: Projek Turapan Mega bagi meningkatkan kualiti jalan raya di seluruh Selangor diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM50 juta, kata Dato' Menteri Besar.
Dato Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sentiasa peka terhadap aduan rakyat berhubung kerosakan jalan yang memberi risiko kepada keselamatan dan keselesaan pengguna.
"Bagi menangani isu tersebut Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Turapan Mega dengan peruntukan sebanyak RM50 juta pada 2023 dan RM20 juta pada 2024.
"Meneruskan momentum kejayaan program ini dan meningkatkan kecekapan pelaksanaannya, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi pelaksanaan program ini pada 2025," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025.
Tahun lalu, Kerajaan Selangor mengeluarkan belanja RM50 juta bagi projek turapan jalan raya secara mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan untuk meningkatkan kemudahan penduduk dan dijalankan secara menyeluruh.
Pemilihan jalan untuk kerja baik pulih itu berdasarkan aduan tertinggi daripada orang awam yang dilaporkan menerusi Twitter atau aplikasi Infrasel kendalian anak syarikat negeri, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel).
Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksanakan Infrasel bagi memastikan keselesaan pengguna.