ad
AGENDA

Perluas tuisyen percuma ke sekolah rendah, bantu murid kuasai 3M

15 Nov 2024, 7:59 AM
Perluas tuisyen percuma ke sekolah rendah, bantu murid kuasai 3M

SHAH ALAM, 15 NOV: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang berjaya meningkatkan pencapaian pelajar sekolah menengah akan diperluas ke sekolah rendah dengan peruntukan RM1 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata program itu akan membantu murid sekolah rendah menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) menerusi Program Literasi & Numerasi.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, pelaksanaan program itu rentetan kesan daripada renjatan sistem pembelajaran ketika era pandemik sehingga berlaku masalah keciciran.

“Ini dibuktikan lagi dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek iaitu sejumlah 5.65 peratus murid sekolah rendah di seluruh negara masih belum mampu menguasai kemahiran asas 3M.

“Di Selangor, hampir 25,000 murid terlibat dalam kelas-kelas pemulihan di sekolah-sekolah. Program ini kelak akan selari dengan program Intervensi Kurikulum di bawah Agenda Reformasi Pendidikan yang telah diluncurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya ketika membentang belanjawan negeri hari ini.

7 Oktober lalu, Fadhlina memuji tekad luar biasa Selangor memberi keutamaan dalam aspek pendidikan melalui pelbagai usaha wajar dicontohi negeri lain.

Mengambil contoh PTRS, Fadhlina berkata program itu membuahkan hasil apabila Selangor mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Negeri dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2023.

“Kejayaan PTRS ini sebagai sebuah ekosistem yang dibina bukan saja untuk melihat satu aspek pendidikan tetapi sistem akademik secara keseluruhan,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.