ad
AGENDA

RM4.5 juta baik pulih sekolah agama, dana pendidikan meningkat tahun depan

15 Nov 2024, 7:54 AM
RM4.5 juta baik pulih sekolah agama, dana pendidikan meningkat tahun depan

SHAH ALAM, 15 NOV: Sejumlah RM4.5 juta diperuntuk bagi membaik pulih sekolah agama demi keselamatan dan keselesaan pelajar, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan berkenaan bagi menggantikan kemudahan asas seperti paip air dan pendawaian elektrik lama yang sudah rosak.

Pada masa sama, dana pendidikan pada belanjawan kali ini meningkat RM2 juta berbanding tahun lalu iaitu RM69.35 juta kepada RM79.95 juta.

“Kerajaan Negeri secara konsisten merencana agenda pendidikan dalam memperkasa modal insan masa hadapan. RM2.6 juta bagi Program Pembangunan Modal Insan dan Sosial serta RM8 juta bagi program pendidikan di bawah kerangka Iltizam Selangor Penyayang,” katanya ketika membentang belanjawan negeri hari ini.

Bagi memperkasa bidang pendidikan, pelaksanaan Program Tekad Reformasi Pendidikan turut dilaksana dengan kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Negeri.

Amirudin menambah, antara program lain menjadi fokus tahun depan adalah kepimpinan di peringkat sekolah bagi membentuk keyakinan diri, kemahiran sosial dan potensi pelajar sebagai pemimpin masa depan.

“Justeru, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan program ini. Sementara RM1 juta lagi bagi memperkasa program berkaitan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di peringkat sekolah,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.