ad
AGENDA

PM serah 50 naskhah al-Quran cetakan khas kepada Persatuan Islam Peru

15 Nov 2024, 12:30 AM
PM serah 50 naskhah al-Quran cetakan khas kepada Persatuan Islam Peru

LIMA (Peru), 15 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan 50 naskhah al-Quran cetakan khas dan terjemahan dalam Bahasa Sepanyol kepada Persatuan Islam Peru di sini.

Serahan kitab suci itu dibuat ketika pertemuan beliau bersama anggota persatuan itu yang diketuai Presidennya, Murad Hamida.

Anwar berkata pada pertemuan yang berlangsung selama 30 minit itu, antara perkara dibincangkan ialah pembangunan umat Islam di Peru.

“Mereka turut memuji usaha Malaysia yang sentiasa di hadapan dalam memperjuangkan nasib saudara Islam di Palestin dan Lubnan yang ditindas oleh rejim Zionis Israel,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Turut dibangkitkan komitmen Malaysia dalam memudahkan urusan pensijilan halal serta membantu pendidikan Islam dan dakwah dalam kalangan komuniti Islam di Peru.

Anwar kini dalam lawatan rasmi ke negara itu antara lain bagi menyertai Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sebagai sebahagian daripada penglibatan beliau pada Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di sini.

Ia adalah lawatan rasmi pertama beliau ke Peru dan rantau Amerika Latin serta Caribbean sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Peru, yang terletak di barat Amerika Selatan, bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di utara serta Brazil di sebelah timur.

Lima, ibu negara Peru dengan jumlah penduduk seramai 11.36 juta, menganjurkan mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.