SHAH ALAM, 14 NOV: Lebih 40 pam mudah alih sedia digunakan bagi mengawal keadaan banjir di seluruh negeri berikutan jangkaan Monsun Timur Laut (MTL) bermula bulan ini sehingga Mac 2025.
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata pihaknya turut menerima bantuan pam daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) sebagai usaha menyedut air keluar.
“Bagaimanapun banyak kawasan rendah. Jadi sukar untuk selesaikan dengan cara ini. Dalam masa sama kita juga pastikan tiada ban pecah yang turut menyumbang kejadian banjir,” katanya.
Ditemui pada Hari Inovasi Pertanian 2024, Izham berkata masalah banjir akan dapat diminimakan dalam tempoh dua tahun lagi apabila sebahagian projek tebatan banjir (PTB) siap.
Ketika ini sebanyak 56 PTB sedang dijalankan merangkumi 12 projek persekutan dan 44 bawah Kerajaan Negeri meliputi kos keseluruhan sebanyak RM3.5 bilion.
“Semua projek sedang berjalan. Ada di peringkat reka bentuk, ukur, kerja tanah. Projek persekutuan dengan kos RM3 bilion manakala negeri sebanyak RM500,000.
“Tak boleh siap terus. Ambil masa dua hingga empat tahun. Dalam masa sama kita lakukan kerja mengorek Sungai Klang dan mengawal kawasan tadahan hujan seperti tasik, kolam, empangan,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia menjangka MTL bermula November sehingga Mac depan dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Sebagai persediaan, Kerajaan Negeri mengadakan latihan amal dan simulasi bencana membabitkan pelbagai agensi menghadapi MTL.
Kelmarin, lima kawasan di daerah Klang dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan. Kawasan itu ialah di Bandar Bukit Raja, Kampung Batu Belah, Rantau Panjang, Meru dan Padang Jawa.