OLEH YASMIN RAMLAN
SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri menyasarkan 80 peratus daripada 6,690 kilang tanpa kebenaran (KTK) yang beroperasi di atas 5,352 lot tanah seluruh Selangor didaftarkan menjelang 2028.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata sasaran itu boleh dicapai dengan tawaran insentif khas kepada pengusaha dan diskaun sehingga 30 peratus bagi bayaran penukaran guna tanah.
“Insentif lain termasuk bayaran premium tanah nominal, permit tanah khas, lesen perniagaan sementara, dan pematuhan keperluan teknikal minimum untuk permohonan kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Pematuhan Syarat Dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) Zon Tengah di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Suee Lim turut memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan lebih tegas akan diambil terhadap pengusaha KTK mulai 1 Januari 2025 jika masih ingkar.
Tindakan itu katanya, termasuk penyerahan notis 7A atau 7B selain 8A bawah Kanun Tanah Negara yang membolehkan rampasan tanah susulan kedegilan pengusaha KTK.
“Sekiranya tiada langkah positif diambil untuk memulihkan tanah selewat-lewatnya pada 31 Disember 2025, langkah penguatkuasaan lanjut akan menyusul termasuk pengeluaran Notis 7B di bawah Seksyen 129 dan seterusnya Notis 8A di bawah Seksyen 130, mulai 1 Januari 2026,” katanya.
Pada 15 Disember 2023, Suee Lim mengeluarkan amaran kepada pengusaha kilang haram di negeri ini supaya menjalani proses pemutihan atau berdepan potensi rampasan tanah.