SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan menggiatkan usaha bagi membawa pulang artifak dan manuskrip lama negara yang disimpan di luar negara, kata menteri perpaduan.
Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif berkenaan dilaksana bersama Jabatan Muzium, Arkib Negara dan Perpustakaan Negara termasuk muzium-muzium negeri, pihak universiti serta individu perseorangan.
“Usaha untuk membawa pulang artifak dan manuskrip lama berkaitan sejarah Tanah Melayu yang dijarah pada zaman penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris yang disimpan di luar negara sememangnya telah dan sedang dilaksanakan.
“Setakat ini terdapat sebahagian daripada koleksi tanah air yang dijarah dan disimpan di luar negara telah dikenal pasti dan berjaya dibawa pulang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Aaron (Kanowit-GPS) berkata demikian menjawab soalan lisan Bakri Jamaluddin (Tangga Batu-PN) berhubung usaha bagi membawa pulang artifak dan manuskrip lama yang berkaitan sejarah Tanah Melayu di luar negara.
Menurut Aaron, sebanyak 1,448 manuskrip berjaya diperolehi sejak 1965 dan disimpan di Arkib Negara, manakala Perpustakaan Negara peroleh 1,090 naskhah manuskrip dari 22 institusi luar negara sejak 1970-an.
Jelasnya, usaha mengesan salinan manuskrip Melayu dilakukan melalui pelbagai medium termasuk maklumat daripada pakar dan ahli akademik tempatan, lawatan ke luar negara, serta semakan melalui jurnal penyelidikan.
“Kerajaan sedang berusaha menyenaraikan lagi manuskrip Melayu yang terdapat di luar negara untuk dibawa balik atau dibuat salinan.
“Maklumat ini akan dikemukakan kepada pihak Arkib Negara yang akan menyediakan Kertas Memorandum Jemaah Menteri berkaitan usaha menjejak artifak dan manuskrip Melayu yang berada di luar negara,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berharap muzium di Malaysia dapat diperhebat dengan memperbanyakkan paparan sejarah serta warisan budaya negara.
Beliau berkata demikian menerusi Facebook, selepas mengunjungi Grand Egyptian Museum di Giza, Mesir yang menempatkan lebih 100,000 artifak bersejarah negara berkenaan.
Anwar bersama delegasi Malaysia mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Mesir bermula 9 November lalu, atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi sempena ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-Mesir yang ke-65 tahun.