SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Bersama bagi meneliti lebih mendalam berhubung penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perundangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata jawatankuasa yang ditubuh bersama Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) itu tidak meminggirkan prinsip teras keadilan undang-undang.
Menurut Datuk Seri Azalina Othman Said, hasil dapatan jawatankuasa berkenaan akan digunakan bagi menggubal Roadmap to My Digital Justice yang bakal dilancar tahun depan.
“Pada 2025, kerajaan akan melancarkan Roadmap to My Digital Justice yang komprehensif dan khas bagi sektor perundangan dengan kerjasama semua pihak termasuk Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi.
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keupayaan digital dalam sektor perundangan dan menerima pakai penyelesaian digital dalam meningkatkan akses kepada keadilan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina (Pengerang-BN) berkata demikian menjawab soalan lisan Syahredzan Johan (Bangi-HARAPAN) berhubung penggunaan AI dalam sektor perundangan dan perkhidmatan undang-undang negara.
Dalam pada itu, Azalina menjelaskan pemakaian AI dalam sistem kehakiman negara masih terhad kepada rakaman mahkamah dan penggunaan pengubahan sistem audio kepada bentuk teks.
Tambahnya, penggunaan AI bagi sektor perundangan akan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk memfokuskan kepada usaha mendekatkan rakyat dengan mahkamah.
“Masalah di negara kita adalah akses kepada keadilan. Mahkamah kita di peringkat sesyen dan majistret masih begitu jauh bagi masyarakat di luar bandar. Inilah objektif kita (iaitu) untuk dekatkan rakyat dengan mahkamah,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM61 juta bagi naik taraf prasarana kehakiman termasuklah pembangunan sistem e-Kehakiman bagi menyokong agenda digital Badan Kehakiman.