ad
AGENDA

Naik taraf pasar usang dibuat menyeluruh termasuk negeri pembangkang

14 Nov 2024, 1:30 AM
Naik taraf pasar usang dibuat menyeluruh termasuk negeri pembangkang
Naik taraf pasar usang dibuat menyeluruh termasuk negeri pembangkang

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Kerajaan Madani akan terus menaik taraf pasar awam usang di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira fahaman politik, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata usaha ini meliputi pasar awam di negeri-negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang seperti Kelantan dan Terengganu.

"Sebagai contoh, bagi negeri Terengganu, pembangunan Pasar Payang Kuala Terengganu telah menerima peruntukan sebanyak RM81.2 juta yang meliputi pembinaan pasar sementara dengan peruntukan sebanyak RM12.2 juta.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk kerja menaik taraf Pasar Borong Gong Pauh, yang mana kerja naik taraf akan bermula pada tahun depan," katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

Kor Ming berkata bagi negeri Kelantan, KPKT telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5.5 juta untuk menaik taraf Pasar Awam Siti Khadijah dan pelaksanaannya dijangka siap pada Januari depan.

[caption id="attachment_644748" align="alignright" width="447"] Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Mingdalam sidan media selepas majlis perasmian Hari Landskap Negara di Taman Tasik Shah Alam pada 25 Mei 2024. Foto Facebook Nga Kor Ming[/caption]

Selain itu, KPKT juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM800,000 untuk menaik taraf Pasar Besar Tanah Merah, termasuk penyediaan bekalan air dan elektrik, pemasangan awning, pembinaan tandas serta sistem saliran longkang.

"Keseluruhan projek ini telah siap sepenuhnya. Hal ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani sentiasa mengambil kira kebajikan dan keperluan semua negeri tanpa mengira fahaman politik," katanya.

Kor Ming berkata KPKT telah menaik taraf 112 unit pasar awam sehingga 1 Nov lepas, melebihi sasaran tahunan yang ditetapkan iaitu 100 unit.

Sementara itu, bagi tahun 2025, KPKT akan memperuntukkan sebanyak RM54.4 juta bagi membina gerai, membaik pulih prasarana pasar awam, serta menaik taraf gerai dan warung kecil di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara, katanya.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.