ad
AGENDA

TikTok beri jaminan kerjasama dengan SKMM, Bank Negara tangani buli siber

14 Nov 2024, 12:44 AM
TikTok beri jaminan kerjasama dengan SKMM, Bank Negara tangani buli siber

LIMA (Peru), 14 NOV: Platform media sosial TikTok memberi jaminan akan melihat permasalahan seperti buli siber dan ancaman scam selain menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menangani isu itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibangkitkan semasa beliau bertemu dengan delegasi TikTok yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Shou Zi Chew di sini hari ini.

"Dalam pertemuan ini, saya bangkitkan beberapa perkara antaranya pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet mulai 1 Jan tahun depan."

"Saya juga menyentuh isu seperti buli siber, ancaman scam serta budaya fitnah yang berleluasa di Malaysia menerusi TikTok,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata turut dibincangkan ialah kerjasama antara Kerajaan Madani dan TikTok di Malaysia.

“… dan mereka memberi perakuan (akan) melanjutkan pelaburan secara besar-besaran,” katanya.

Beliau berkata TikTok juga komited menyokong segala usaha Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.